~ Kekeliruan Mengenai Perlindungan Insurans Perubatan ~
Wednesday, 24 April 2013
Ramai yang tidak mengetahui apa yang sebenarnya dilindungi
di bawah Insurans Hospital & Pembedahan. Polisi Insurans Hospital &
Pembedahan (HSI) melindungi anda bagi perbelanjaan yang ditanggung semasa anda
dimasukkan ke hospital disebabkan penyakit yang dilindungi atau disebabkan
kemalangan. Antara perlindungan yang biasa ialah perbelanjaan penginapan dan
rawatan di hospital, perbelanjaan pembedahan (bayaran pakar bedah dan kos yang
berkaitan dengan pembedahan), perbelanjaan pakar perubatan dan ujian pesakit
dalam wad. Terdapat juga polisi HSI yang menyertakan perlindungan luar Negara,
manfaat kematian akibat kemalangan dan ujian atau perundingan pesakit luar.
Pada umumnya, anda akan dilindungi sebagai pesakit hanya
sekiranya anda dimasukkan ke wad. Walaubagaimanapun, polisi HSI juga melindungi
anda bagi rawatan kecemasan pesakit luar akibat kemalangan. Selain itu, polisi HSI
juga mempunyai manfaat ‘Pembedahan Harian’ yang melindungi prosedur pembedahan yang
tidak memerlukan anda bermalam di hospital, contohnya pembedahan katarak mata.
Dengan manfaat ini, anda tidak perlu bermalam di hospital
untuk layak menerima perlindungan dan ini merupakan penjimatan kos perubatan
kepada anda. Polisi HSI biasanya tidak melindungi sebarang caj kemasukan ke
hospital atau rawatan yang berkaitan kehamilan, kejanggal congenital,
pembedahan kosmetik, rawatan pergigian yang tidak berkaitan dengan kemalangan,
penyakit yang dijangkiti melalui hubungan kelamin, pemeriksaan kesihatan rutin
dan penyakit berkaitan psikiatri.
Satu pengecualian yang biasa terdapat di bawah polisi HSI
ialah keadaan atau penyakit sedia ada, yang wujud sebelum tarikh kuatkuasa
polis HSI, yang anda sedang menerima rawatan atau menunjukkan gejalanya. Sebagai
contoh, sekiranya anda pernah berjumpa doctor perubatan untuk sebarang rasa
sakit atau rasa tidak selesa yang berkaitan dengan keadaan itu, ia akan
dianggap sebagai gejala sesuatu penyakit tertentu. Oleh itu, penyakit tersebut
akan dikecualikan daripada perlindungan polisi anda.
Sebagai contoh, anda mungkin baru mengetahui bahawa anda
mempunyai sista di dalam abdomen anda dua bulan selepas anda membeli polisi HIS
dan dinasihatkan supaya membuangnya. Anda tidak akan dilindungi untuk prosedur
ini kerana ia adalah salah satu daripada penyakit tertentu itu dan ia masih
dalam tempon 120 hari.
Oleh itu, anda perlu menyemak senarai penyakit tertentu ini
bagi mengelakkan sebarang pertikaian atau salah faham pada masa akan datang.
Sila ambil perhatian bahawa anda tidak layak membuat
sebarang tuntutan yang timbul daripada sebarang keadaan perubatan atau fizikal
dalam tempoh 30 hari pertama perlindungan, kecuali kecederaan akibat
kemalangan, tanpa mengira sama ada anda mengetahui atau tidak tentang keadaan
itu.
Walau bagaimanapun, ini tidak pula bermakna anda dilindungi
secara automatic selepas 30 hari pertama itu kerana anda masih lagi tertakluk
kepada tempoh tangguh 120 hari bagi penyakit tertentu dan pengecualian keadaan
/ penyakit sedia ada.
Adalah amat penting untuk anda mendedahkan semua maklumat
perubatan anda dengan betul semasa permohonan polisi. Syarikat insurans berhak
menolak tuntutan perubatan jika mereka mempunyai bukti bahawa orang yang
diinsuranskan tidak mendedahkan sebarang maklumat penting pada masa membeli
polisi. Kebanyakan polisi HSI sekarang ini melanjutkan perlindungannya hingga
umur 80 tahun dan sesetengahnya hingga umur 100 tahun. Walau bagaimanapun,
sentiasa terdapat unur penyertaan terakhir dan pastikan anda menyertai pelan
itu sebelum umur yang ditetapkan itu dan jangan sesekali membiarkannya luput.
Jika tidak, anda tidak akan mempunyai perlindungan pada saat anda paling
memerlukannya.
Selain itu, walaupun polisi HSI biasanya melindungi rawatan
luar negara, manfaatnya akan terhad kepada caj munasabah, biasa diamalkan dan
perlu dari segi perubatan bagi rawatan yang sama di Malaysia, dan tidak
termasuk kos pengangkutan ke tempat rawatan. Sebagai contoh, katakan kos pembedahan apendisitis yang
biasa di dalam negara ialah sebanyak RM2000, tetapi anda perlu menjalani
pembedahan di Singapura yang menelan belanja S$3000. Jadi, anda akan dibayar
kembali sebanyak RM2000.
Di samping itu, jika anda tinggal atau mengembara ke luar
Malaysia selama lebih daripada 90 hari berturut-turut, manfaat tidak akan dibayar
bagi rawatan perubatan di luar Malaysia. Oleh itu, jika anda tidak merancang
untuk pulang ke Malaysia selama lebih daripada 90 hari berturut-turut, anda
mungkin perlu mendapatkan pelan HSI yang lain di negara yang anda tinggal.
Tetapi sebaik sahaja anda kembali ke Malaysia, perlindungan
HSI akan bermula semula sehinggalah anda keluar dari Malaysia sekali lagi
selama lebih daripada 90 hari berturut-turut.
Artikel ini disediakan sebagai panduan, Untuk butir-butir
khusus, sila dapatkan nasihat daripada professional insurans yang disenaraikan
atau anda juga boleh mendapatkan maklumat daripada saya.
*Sumber: LIAM . Petikan dari Harian Metro. Rabu 13 Mac 2013.
0 comments:
Post a Comment